Pages

Sunday, November 16, 2014

Penat homeschooling 24/7?....Ibrah Bilal bin Rabah

Bismillahirrahmaanirrahim.

Kali ini saya ingin berkongsi pengalaman homeschooling yang tak semuanya indah....

Melalui bulan-bulan kebelakangan ini dengan suami sibuk dengan urusan keluarganya dan kerja...saya rasa memang penat dan tak cukup tangan. Anak mula kurang berdisiplin dan tanpa suami, memang hampir kecewa saya dibuatnya menguruskan perangai mereka seorang demi seorang. Sabtu lepas, apabila kebetulan suami mahu berehat di rumah, saya pun mencuri peluang untuk 'berehat' dari dunia rumah..hendak balik ke rumah mak abah menghilangkan lelah memang tiada lagi dalam senarai...maka rumah Allah sahajalah pilihan yang paling menenangkan..alhamdulillah... solat maghrib dan isya' di masjid tanpa perlu menjaga anak-anak lelaki yang lasak itu sudah amat bertuah. (Tetapi saya bawa juga Sofeya yang dijaga kakaknya Aisyah.)

Waktu antara maghrib dan Isya' diisi dengan kuliah umum oleh ustaz yang tentulah saya tidak kenali, lantaran jarangnya mengikuti kuliah di masjid. Beliau menceritakan susahnya Bilal bin Rabah mempertahankan keimanannya ketika bergelar seorang hamba abdi. Betapa Bilal dipaksa bekerja berat sepanjang hari dan malam tanpa belas kasihan kerana menjadi pengikut Muhammad saw. Namun, beliau tetap melakukannya di samping terus beriman kepada Allah swt. Tidak sesekali beliau cuba lari atau berputus asa dengan keadaannya itu. Sehinggalah beliau didera di tengah panas terik padang pasir tetapi tetap menuturkan kalimah 'ahad'....ahad'...sehinggalah akhirnya beliau dibebaskan dan kesabarannya terbalas apabila dilantik menjadi muazzin di masjid Nabawi sehinggalah Rasul kesayangannya wafat.

Subhaanallah...Inilah jawapan kepada kepenatan yang saya rasakan...adakalanya terasa sudah tidak tertahan dan mahu berputus asa sahaja, tetapi hakikatnya ujian yang dilalui masih sangat jauh jika dibandingkan dengan kepenatan Bilal... beliau tetap bertahan demi keimanan kepada Allah dan rasulnya. Demi memastikan Islam yang dibawa Rasul saw tertegak dan disampaikan ke seluruh alam. Begitu juga dengan ahlul bait dan para sahabat baginda yang terawal memeluk Islam dan beriman. Mereka mengorbankan segala kesenangan hidup demi memastikan Islam terus tersebar. Bukankah itu juga matlamat homeschooling ini? Untuk menyampaikan risalah tauhid kepada ahlul bait kita dan seterusnya kepada masyarakat...

Menongkah arus membawa amanah iman memang bukan mudah...tetapi inilah jalannya yang telah ditunjukkan dan dilalui oleh mereka yang terdahulu. Tarbiah dari rumah. Walau ke mana anak-anak akan pergi sekalipun, tanggungjawab menyampaikan risalah tauhid adalah tanggungjawab ibubapa. Apa yang kita tanam hari ini, itulah harta sebenar yang akan kita tuai nanti di akhirat kelak, insyaAllah.

Memetik kata Ustazah Norhafizah Musa...
Ya Allah...aku sangat penat,
tetapi...penat lagi jika kepenatan ini tidak diterima dan diredhai olehMu :(

Semoga semua amal kita yang sedikit ini diterima olehNya dan mampu menjadi penghindar dari azab neraka di akhirat kelak. Aameen.

No comments:

Post a Comment